-
FST LANCAR TIGA VARIAN ROSEL BARU
Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan Majlis Pelancaran Tiga Jenis Rosel Baru hasil penyelidikan saintis UKM. Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin pada 23 April 2009 di Kompleks Rumah Tumbuhan, UKM Bangi. Turut hadir, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof. Dr. Musa Ahmad dan Penyelidik, Prof. Dr. Mohamad Osman.
Kumpulan Penyelidikan Rosel UKM yang diketuai oleh Prof. Dr. Mohamad Osman di Fakulti Sains dan Teknologi telah berjaya membiakbaka tiga varian rosel baru: UKMR-1, UKMR-2 dan UKMR-3.
Program pembiakbakaan melalui mutasi aruhan telah dijalankan pada tahun 2006 ke atas rosel baka Arab dengan menggunakan kemudahan sel gamma di UKM. Dengan menggunakan kaedah ini, beberapa variasi genetik telah berjaya dihasilkan. Pendekatan ini telah membantu menghasilkan ciri-ciri morfo-agronomi dan fisio-kimia yang dikehendaki. Ketiga-tiga jenis rosel baru ini mempunyai keistimewaan tersendiri, namun secara keseluruhannya setiap varian menampilkan saiz pokok yang sederhana, rendang, tumbuh tegak dan mempunyai tempoh matang yang lebih pendek berbanding induknya, rosel varian Arab.
Warna daun pokok rosel adalah hijau, kecuali untuk varian UKMR-2 yang mempunyai daun bersaiz lebih lebar dan berwarna hijau kemerahan. Bentuk buah juga berbeza mengikut setiap varian. Bentuk dan saiz buah jenis UKMR-2 adalah mirip seperti induknya. Warna buah bagi jenis UKMR-1, UKMR-2 dan UKMR-3 adalah masing-masing merah, merah hati dan hijau muda. Selain dapat menambahkan pilihan untuk industri rosel, varian-varian baru ini berpotensi untuk dikembangkan kepada pelbagai kegunaan lain.
Tumbuhan rosel terkenal di negara-negara luar dan mendapat permintaan yang tinggi berikutan kadar antioksidan dan nutrisi lainnya yang terbukti baik untuk kesihatan. Negara Sudan contohnya, terkenal dengan teh rosel yang dikenali sebagai karkadeh, manakala Jerman pula menggunakan rosel sebagai salah satu bahan utama untuk agen pewarna semulajadi. Secara umumnya, rosel lebih dikenali sebagai ramuan untuk bancuhan minuman semualajadi. Buah rosel biasanya dijadikan kordial atau pati minuman.
Penyelidikan UKM berjaya menghasilkan satu penemuan penting tentang khasiat tambahan yang ada pada buah rosel selain dari vitamin C dan antosianin yang sedia ada. Melalui kajian yang dijalankan, sesetengah jenis rosel didapati mempunyai kandungan asid hidroksisitrit (HCA) yang tinggi, iaitu sejenis asid organik seperti asid sitrit yang terdapat pada buah sitrus. HCA adalah sangat berguna kerana ia merupakan komponen utama yang digunakan untuk tujuan pelangsingan badan.
Dengan wujudnya tiga baka rosel terbaru dari hasil kajian saintis UKM ini, dijangkakan pasaran dan permintaan untuk produk berasaskan rosel akan meningkat dan seterusnya menjadi antara sumber nutrisi tambahan yang terbaik, memandangkan ianya kini mudah didapati dan boleh diusahakan secara meluas di Malaysia.
Dalam ucapan perasmian beliau, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin menegaskan bahawa tumbuhan ini perlu dipelbagaikan lagi fungsinya dan nutrisi berguna yang terkandung dalam buah rosel perlu dieksploit sebaik mungkin. Produk berasaskan rosel harus dipromosikan dengan lebih giat supaya lebih ramai pengguna sedar mengenai kandungan nutrisi dan kebaikan yang terkandung didalamnya.
SUMBER : http://www.ukm.my/portal/berita270409.html
0 comments: